the sweetest of smile can only be seen within ones' face who bear a beautiful soul[^^,]

Feb 16, 2014

Points to ponder

Captured this stuff accidentally while going thru FB shared by a friend. It might be long, yet, a good reading materials for me. Something that can be pondered about. :)

***************************************************************


PENGURUSAN BAITUMAL ERA PEMERINTAHAN KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ
(Management of Treasury During Era the Reign of Caliph Umar bin Abdul Aziz)

Abstrak
Penulisan ini bertujuan untuk meneliti pengurusan Baitumal era pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Penelitian ini penting memandangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dikatakan telah melakukan revolusi sepanjang pemerintahannya. Berdasarkan analisis tekstual yang telah dilakukan terdapat lima faktor penentu kejayaan dalam pengurusan Baitumal pada zaman tersebut. Pertama, penciptaan iklim sihat untuk pertumbuhan ekonomi. Kedua, pemantapan dana Baitumal. Ketiga, merangsang dan merancakkan sektor perniagaan. Keempat, mencipta peraturan baharu untuk sektor pertanian. Kelima, penumpuan terhadap dana umum yang tersimpan dalam Baitumal. Keenam, berjimat dalam menggunakan perbendaharaan negara.

Kata kunci: pengurusan, Baitumal, Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Pendahuluan

Walaupun pemerintahannya hanyalah selama dua tahun lima atau enam bulan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah berjaya melakukan revolusi mencakupi keseluruhan bidang kekuasaan yang dimilikinya. Bidang kekuasaan yang dimiliki beliau antaranya termasuklah bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Rakyat yang berada di bawah naungan pemerintahan beliau hidup aman. Keadaan ini dapat dilihat semasa penduduk Basrah sangat gembira setiap kali kedatangan pengutus surat khalifah. Keadaan ini berlaku kerana penduduk Basrah tahu mereka akan dikhbarkan berita gembira daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz selaku khalifah mereka. Satu ketika pengutus surat tersebut datang membawa surat dalam keadaan menangis. Tangisan pengutus surat tersebut juga membuatkan seluruh penduduk Basrah menangis. Pengutus surat tersebut terus masuk ke dalam Masjid Basrah dan membacakan surat tersebut mengenai kematian Khalifah Umar bin Abdul Aziz.Peristiwa tersebut menunjukkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan seorang khalifah yang benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sehingga pemerintahnnya amat disenangi oleh rakyat. Berbeza sekali dengan khalifah-khalifah sebelumnya yang banyak melakukan penyelewengan terutamanya sewaktu mengendalikan harta Baitumal. Keadaan sedemikian ini membuatkan penulisan ini cuba merungkai faktor-faktor kejayaan pengurusan Baitumal yang dilaksanakan oleh Khalifah. Walau bagaimanapun, penulisan ini hanyalah sekadar perbincangan awal terhadap faktor-faktor kejayaan tersebut. Keadaan ini berlaku kerana ia memerlukan penelitian yang lebih mendalam dan ruang perbincangan yang lebih luas untuk membincangkan mengenainya.Faktor-faktor penentu kejayaan pengurusan Baitumal yang dibincangan dalam penulisan ini adalah pertama, penciptaan iklim sihat untuk pertumbuhan ekonomi. Kedua, pemantapan dana Baitumal. Ketiga, merangsang dan merancakkan sektor perniagaan. Keempat, mencipta peraturan baharu untuk sektor pertanian. Kelima, penumpuan terhadap dana umum yang tersimpan dalam Baitumal. Keenam, berjimatan dalam menggunakan perbendaharaan negara. Keenam-enam faktor ini akan dibincangkan dalam sub topik-sub topik berikutnya.

  1. Penciptaan Iklim Sihat Untuk Pertumbuhan Ekonomi
Sikap khalifah-khalifah sebelum Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah banyak membebankan rakyat sehingga ia telah menjadikan rakyat yang kaya terus bertambah kaya dan rakyat yang miskin bertambah miskin. Keadaan tersebut diperakui sendiri oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz sehingga beliau menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap cara Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik memerintah. Cara Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik memerintah telah membuatkan rakyat berada dalam sistem ekonomi yang merugikan rakyat. Apabila Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah menggantikan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, beliau telah mencipta iklim sihat untuk pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara. Penciptaan iklim sihat tersebut telah memberi keuntungan kepada rakyat dan telah membuatkan berlakunya pertambahan dana Baitumal.Antara perkara yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan melarang gabenor-gabenor dan kakitangan kerajaan melakukan monopoli terhadap kekayaan dan aset negara. Selain itu, beliau juga melarang gabenor-gabenor dan kakitangan kerajaan merampas dan menyita kekayaan secara zalim. Harta-harta yang telah dirampas oleh gabenor-gabenor dan kakitangan kerajaan secara zalim sebelum beliau menguatkuasakan undang-undang tersebut dikembalikan semula oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada pemiliknya yang asal. Beliau berusaha menyelidik dan menghebahkan kepada rakyatnya yang dizalimi untuk menggembalikan harta-harta tersebut. Sekiranya tidak diketahui identiti pemiliknya, harta tersebut menjadi milik negara dan dimanfaatkan untuk rakyat.Selain itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga membina infrastruktur seperti jambatan, menyediakan pengangkutan awam, menggali beberapa perigi, membina jalan raya dan menggali tanah untuk membina sungai. Semasa membina infrastruktur-infrastruktur ini Khalifah Umar bin Abdul Aziz menggarahkan ia dibina tanpa memungut peruntukan daripada sesiapapun. Arahan tersebut dikeluarkan oleh beliau supaya gabenor-gabenor dan kakitangan kerajaan tidak mengambil tindakan atau menggambil kesempatan kepada rakyat dengan memungut cukai dan sebagainya.Tindakan Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini secara tidak langsung telah membuatkan rakyatnya menceburi bidang perniagaan dan perdagangan. Peningkatan hasil perniagaan dan perdagangan ini telah membuatkan banyak dana Baitumal yang terdiri daripada hasil perniagaan terutama zakat dan ‘usyur. Tindakan tersebut juga telah membuatkan ramai kafir zimmi9 memeluk agama Islam.Penciptaan iklim sihat untuk ekonomi yang telah dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini telah membawa kesan kepada pertambahan dana Baitumal. Kebijaksanaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz mencipta iklim sihat tersebut juga adalah disebabkan penguasaan ilmu yang dimiliki oleh beliau. Beliau yang digelar sebagai khalifah berstatus ulama telah membuatkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh beliau dapat dilaksanakan oleh beliau sendiri kerana beliau merupakan pemerintah tertinggi kerajaan pada masa tersebut. Keadaan sebegini secara tidak langsung memudahkan beliau untuk memantapkan dana Baitumal semasa zaman pemerintahan beliau.

2. Pemantapan Dana Baitumal

Dana Islam yang disimpan dalam Baitumal yang diperkasakan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz antaranya ialah zakat, ufti, kharaaj, ‘usyur dan seperlima daripada ghanimah dan fa’ie. Secara keseluruhannya dana zakat semakin bertambah disebabkan hasil perniagaan, dagangan dan pertanian rakyat. Pertambahan kafir zimmi yang memeluk agama Islam juga membuatkan dana zakat semakin bertambah. Pertambahan ini berlaku kerana jumlah penduduk Islam yang semakin ramai yang akhirnya membuatkan jumlah kutipan zaman juga turut bertambah. Fatwa baru yang dikeluarkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengenai perluasan hukum membayar zakat kepada zakat ikan dan madu juga membawa kepada pertambahan dana zakat.Limpahan harta zakat yang berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz berlaku sehingga dikatakan semua rakyat terkeluar daripada asnaf penerima zakat. Hal ini telah diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang merupakan gabenor pada zaman tersebut. Beliau berkata:“Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Setelah memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang-orang fakir. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat tersebut saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya”.Ufti yang dikenakan ke atas golongan kafir yang menetap di bawah naungan negara Islam juga dilakukan berasaskan syarak. Keadaan ini terjadi kerana sebelum pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ufti turut dikenakan ke atas penduduk Muslim yang pada asalnya merupakan kafir zimmi. Semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ufti tersebut dihapuskan oleh beliau kerana bercanggahan dengan syarak. Keadaan ini telah membuatkan ramai kafir zimmi memeluk Islam. Walau bagaimanapun, situasi tersebut menyebabkan ramai gabenor mengeluh kerana ia dikatakan akan mengurangkan jumlah rakyat yang membayar ufti. Bagi menyangkal dakwaan tersebut, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menjawab tuduhan tersebut dengan sepucuk surat sebagaimana berikut:8 Bayaran yang dikenakan dari perniagaan yang dilakukan oleh peniaga bukan Islam sama ada kafir zimmi (golongan bukan Islam yang tidak boleh diperangi) atau kafir harbi (golongan bukan Islam yang boleh diperangi) setelah mereka melepasi sempadan negara Islam.9 Penduduk bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam.10 Cukai yang dipungut setiap tahun daripada kafir zimmi yang menetap di bawah naungan Islam.11 Cukai yang dikenakan ke atas tanah yang dimiliki atau ditakluki dengan cara paksaan, kekerasan atau tanah yang dimiliki dengan cara berdamai.12 Harta rampasan perang.13 Harta milik orang kafir yang dimiliki tanpa melalui peperangan dan tidak mengerakkan peralatan perang. Sesungguhnya Allah SWT telah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk menyerukan agama ini kepada seluruh manusia, bukan sebagai pemungut cukai dan ufti”. Bagi kafir zimmi yang hidup dalam kemiskinan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz tidak mewajibkan ufti kepada mereka. Beliau melakukannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayidina Umar bin Khattab RA terhadap kafir zimmi yang miskin dengan mengeluarkan dana Baitumal untuk membantu mereka. Keputusan Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini telah menguatkan hubungan rakyat dan gabenor. Selain itu, kepercayaan rakyat kepada gabenor juga bertambah. Fitnah terhadap kekurangan dana Baitumal juga dapat dihapuskan dengan perintah melarang gabenor mengutip ufti daripada kafir zimmi yang telah memeluk Islam.Ramainya kafir zimmi yang memeluk Islam pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyebabkan berlakunya pertambahan pembayar-pembayar zakat. Hal ini berlaku kerana kafir zimmi terdiri daripada golongan yang kaya. Mereka juga mampu mengeluarkan zakat harta kerana mereka memiliki perusahaan yang melibatkan sektor perniagaan dan perdagangan.Larangan penjualan tanah yang terikat dengan cukai tanah juga menyebabkan kharaaj meningkat. Larangan terhadap penjualan tanah tersebut juga merupakan perintah yang dikeluarkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz berdasarkan syariat. Selain daripada larangan tersebut, Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga telah membina sistem perparitan dan jalan untuk memudahkan para petani mengairi tanaman dan membawa keluar hasil tanaman untuk dieksport.Penghapusan beberapa cukai dalam sektor perniagaan juga telah membuatkan ramai kafir zimmi memiliki keazaman untuk mengembangkan perniagaan yang mereka miliki. Situasi ini telah membuatkan pembayaran ‘usyur meningkat. Keadaan ini juga membuatkan dana Baitumal pada era pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz bertambah berbanding sewaktu zaman pemerintahan khalifah Islam sebelum beliau.Walau bagaimanapun, dana kewangan dalam Baitumal berbentuk seperlima daripada ghanimah dan fa’ie tidak banyak dapat dikumpul semasa era tersebut. Ia terjadi kerana pada era tersebut, penumpuan terhadap pembaikan keadaan negara lebih diberi keutamaan. Tempoh pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang singkat juga tidak memberi peluang untuk beliau melaksanakan perang berbanding dengan cara berutus surat menyeru raja-raja dan gabenor-gabenor memeluk Islam.

3. Merangsang dan Merancakkan Sektor Perniagaan

Cukai yang tidak munasabah yang dikenakan sebelumnya juga telah dihapuskan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menyebabkan harga hasil pertanian menurun. Keadaan ini membuatkan permintaan terhadap barang tersebut meningkat dan akhirnya membuatkan perniagaan semakin laris berbanding sebelum cukai dihapuskan.Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga meminta gabenor-gabenor membina kemudahan-kemudahan di sepanjang tempat persinggahan para pedagang. Rumah untuk transit juga disediakan dan dibenarkan untuk bermalam selama satu hari satu malam. Bagi para pedagang yang terpaksa menginap melebihi tempoh tersebut juga dibenarkan. Antara yang dibenarkan adalah mereka yang sakit. Para pedagang Muslim yang tersesat jalan, barang dagangannya dirompak dan musibah lain turut diberi pertolongan sebaiknya. Semua kerugian dan jaminan tersebut ditanggung oleh Baitumal negara.keselamatan dan keselesaan tersebut secara tidak langsung telah memberi motivasi kepada para pedagang dan merancakkan lagi sektor perniagaan.Selain itu, sebarang pemberian untuk para pedagang adalah dilarang. Larangan tersebut supaya para pedagang memberi fokus kepada perniagaan yang telah mereka jalankan berbanding memberi tumpuan kepada pemberian-pemberian tersebut. Para pedagang yang bankrap dilunaskan hutangnya oleh Baitumal negara. Khalifah Umar bin Abdul Aziz melakukannya untuk meberi peluang dan galakan kepada para pedagang supaya tidak berputus asa terutama sekali kepada pedagang-pedangan yang masih baru. Penyeragaman sukatan dan timbangan dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Ia juga merupakan sebahagian undang-undang negara pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz22.Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga melarang gabenor-gabenor dan kerabat tertinggi terlibat dalam aktiviti perniagaan. Khalifah Umar bin Abdul Aziz melarang ia berlaku untuk mewujudkan persaingan sihat antara perniaga dan menghindari perubahan harga yang murah dan memihak kepada mereka23.

4. Mencipta Peraturan Baharu Untuk Sektor Pertanian

Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga telah melaksanakan peraturan-peraturan baru dalam sektor pertanian. Antara peraturan yang dimaksudkan adalah seperti melarang jual beli tanah yang terikat dengan pajak. Larangan ini dikeluarkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz kerana menurutnya ia tidak terkandung dalam syariat Islam melainkan hanya melalui rampasan perang. Sebaliknya sedekah sebagai ganti pajakkan tadi diwajibkan kepada pemilik tanah pusaka sebagai ganti kepada pajakkan tanah yang telah berlaku sebelum larangan jual beli tanah dikeluarkan sebelum ini.Perhatian kepada petani turut diberikan dengan menghapuskan beban cukai yang dikenakan terhadap mereka. Cukai yang pelbagai dikenakan terhadap pemilik tanah pusaka menyebabkan ramai dalam kalangan mereka meninggalkan tanah tersebut daripada diuruskan. Keadaan ini turut menyebabkan mereka yang memiliki tanah menjualkan tanah mereka untuk mengelakkan denda dan bebanan cukai. Selain itu, rakyat juga cuba mengelak daripada memiliki tanah untuk menghidari kesulitan tersebut. Keadaan tersebut membuatkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz menghapuskan cukai tersebut untuk merangsang kembali sektor pertanian.Pemulihan terhadap tanah terbiar juga dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan cara mengalakkan rakyatnya membuka tanah baru untuk dibangunkan atau digunakan untuk tujuan pertanian. Selain itu, cukai tanah pula hanya dikenakan kepada tanah yang mengeluarkan hasil. Pinjaman juga diberikan untuk menggalakkan pengeluaran hasil pertanian yang banyak.Tanah himaa28 yang dimiliki juga tidak dibenarkan hanya dimiliki oleh seseoarang atau segolongan sahaja. Sebaliknya Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengarahkan supaya ia digunakan oleh kaum Muslimin dengan sebaiknya. Tanah sebegini statusnya lebih berbentuk wakaf.  Semasa pemerintahan Abdul Malik bin Marwan, al-Walid bin Abdul Malik dan Sulaiman bin Abdul Malik, terdapat rakyat yang meminta kebenaran untuk membeli tanah daripada ahl zimmah. Keizinan diberikan pada masa tersebut dengan syarat mereka perlu mengeluarkan beberapa peratus daripada nilai pembelian tersebut kepada Baitumal..Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga mengalakkan rakyatnya meneroka tanah baru yang tidak mempunyai pemilik. Selain itu, tanah yang diambil daripada gabenor sebelumnya yang telah ditinggalkan, tidak diketahui pemilik atau warisnya, diusahakan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Hasil daripada tanaman tanah yang diusahakan tersebut diserahkan kepada Baitumal.

5. Penumpuan Terhadap Dana Umum Yang Tersimpan Dalam Baitumal

Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat perihatin terhadap dana umum yang tersimpan di dalam Baitumal. Beliau mengagihkan dana Baitumal untuk kepentingan perlindungan sosial. Antaranya dengan memberi perhatian kepada rakyatnya yang miskin dan fakir. Beliau juga sentiasa cuba menyelesaikan masalah yang diadukan kepadanya. Antaranya suatu ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menerima surat daripada Fartunah as-Sauda’ yang merupakan seorang hamba kepada Dzi Ashbah. Fartunah as-Sauda’ menulis mengenai tembok rumahnya yang rendah sehingga dengan mudah beliau diserang oleh orang jahat dan ayamnya yang sering dicuri. Berdasarkan surat tersebut Khalifah Umar bin Abdul Aziz segera membalas surat Fartunah as-Sauda’ dan mengurus surat kepada Ayyub bin Syurahbil yang merupakan pegawainya di Mesir supaya meninggikan tembok Fartunah as-Sauda’.Selain itu, Khalifah Umar bin Abd Aziz juga menjelaskan hutang rakyat yang berhutang bukan bertujuan untuk kemaksiatan. Hutang rakyat yang telah meninggal dunia juga turut dijelaskan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz melalui dana Baitumal. Selain untuk menjelaskan hutang, dana Baitumal juga telah digunakan untuk menjelaskan denda yang menimpa rakyatnya. Sebagaimana yang telah diriwayatkan tentang dana Baitumal yang banyak menyebabkan gabenor di Kufah menulis surat untuk bertanyakan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkenaan hal tersebut. Surat tersebut dibalas oleh beliau sebagaimana berikut:“Engkau telah memberitahuku tentang Baitul Mal yang banyak menyimpan dana. Dana tersebut boleh engkau gunakan untuk melunaskan hutang pasukan perangmu yang tidak digunakan untuk kemaksiatan atau juga untuk mereka menikah namun tidak memiliki apa-apa sebagai mahar untuk pengantin wanita. Wassalam”.Tawaran yang sama juga telah dibaca di Masjid Kufah yang isi kandungannya menawarkan kepada rakyatnya untuk membayarkan hutang mereka dan melunaskan mahar perkahwinan bagi mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk melunaskan bayaran mahar tersebut.Semua pembayaran tersebut diambil daripada dana Baitumal.Perhatian yang cukup besar juga diberikan kepada golongan yang lumpuh dan menderita sakit. Khalifah Umar bin Abdul Aziz melakukannya dengan cara membahagikan hamba-hamba yang diperoleh daripada harta rampasan perang kepada setiap orang yang lumpuh dan sakit. Sehingga diriwayatkan setiap mereka yang sakit mempunyai hamba yang melayani mereka dan setiap yang buta memiliki hamba yang memimpinnya.Kaum Muslimin yang menjadi tawanan perang kaum kafir dan juga hamba sahaya turut diberi perhatian oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Melalui dana Baitumal, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah berusaha membebaskan kaum Muslimin yang ditawan dan memerdekakan hamba sahaya. Selain itu, mereka yang terbabit dalam kes jenayah dan qisas turut diberi perlindungan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada gabenor-gabenornya supaya tidak mengikat tawanan Muslim sehingga menyukarkan mereka untuk mendidikan sembahyang dalam keadaan berdiri. Makanan dan pakaian tawanan juga diperintahkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dijaga dengan baik sama ada sewaktu musim dingin mahupun musim panas.Gaji yang tinggi diberikan kepada para gabenor setelah Khalifah Umar bin Abdul Aziz menghapuskan pemberian imbuhan dan gaji khusus sebagaimana yang diberikan oleh khalifah sebelum beliau. Gaji untuk dirinya sendiri dikurangkan berbanding gaji pegawai dan gabenornya. KhalifahUmar bin Abdul Aziz melakukannya supaya para gabenor dan pegawai lebih kaya dan menghindari mereka daripada pengkhianatan.

6. Berjimatan Dalam Menggunakan Perbendaharaan Negara

Khalifah Umar bin Abd Aziz sangat berjimat dalam menggunakan perbendaharaan negara. Beliau memiliki lampu yang berbeza untuk menjalankan tugas negara dan urusan peribadinya. Beliau juga pernah mengutus surat kepada Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazm yang merupakan Gabenor Madinah, supaya tidak menggunakan lilin yang diperuntukkan untuk menguruskan hal ehwal pemerintahan digunakan untuk menyuluh jalan sewaktu keluar dari rumah di malam hari. Selain itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga pernah menulis surat kepada Sulaiman yang juga merupakan Gabenor Madinah melarang pembaziran menggunakan kertas. Larangan-larangan tersebut dikeluarkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz supaya tidak berlaku pembaziran dan pemborosan terhadap penggunaan perbendaharaan Baitumal.

Kesimpulan

Kebijaksanaan Umar bin Abdul Aziz menguruskan perbendaharaan negara menyebabkan pengurusan kewangan Baitumal fasa zamannya melimpah ruah. Limpahan dana Baitumal ini walau bagaimanapun tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz untuk kepentingan diri dan keluarganya. Walaupun Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan keluarganya hidup dalam keadaan serba kekurangan, rakyatnya dikatakan hidup dalam keadaan kaya. Sebagaimana diriwayatkan seorang lelaki keturunan Zaib bin Khattab telah berkata:“Umar bin Abdul Aziz memerintah selama dua tahun setengah, iaitu 30 bulan. Dia tidak meninggal dunia kecuali selepas membuatkan kita kaya dengan membawa harta yang melimpah-limpah, lalu dia berkata, ‘Bahagikan ini kepada orang yang kamu anggap fakir’. Umar terus melakukan itu sampai dia pulang dengan membawa harta yang tersisa. Saat itu, tidak ditemukan lagi orang yang berhak menerima zakat dan santunan negara, sehingga harta itu dibawa kembali ke Baitumal. Umar bin Abdul Aziz telah membuat seluruh rakyatnya menjadi kaya.”41Pengurusan Baitumal yang berjaya pada zaman tersebut juga didapati tidak sahaja bergantung kepada strategi yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Keenam-enam faktor kejayaan pengurusan Baitumal tersebut juga dipengaruhi oleh empat faktor utama yang disifatkan sebagai rukun kekuasaan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Rukun kekuasaan tersebut adalah khalifah, gabenor atau penguasa daerah, para hakim dan pegawai pengendali Baitumal. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyifatkan keempat-empat perkara yang disifatkan sebagai rukun kekuasaan tersebut penting untuk mewujudkan kemakmuran sesebuah negara. Melalui khalifah, gabenor atau penguasa daerah, para hakim dan pegawai pengendali Baitumal yang berwibawa yang telah dimiliki semasa era pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pengurusan Baitumal pada zaman tersebut dapat dilakukan dengan baik.Sesebuah institusi kewangan negara seperti institusi Baitumal, bank negara, bank dunia dan sebagainya dapat dilakukan dengan baik dan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara adalah disebabkan strategi yang mantap dan juga keanggotaan ahli yang berwibawa serta amanah dalam institusi kewangan negara tersebut. Ia telah dibuktikan oleh perjalanan sejarah sebagaimana yang telah berlaku semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

No comments: